Tujuh Panduan Untuk Naqib

0 comments

TUJUH PANDUAN UNTUK NAQIB
Adaptasi (ringkasan dan penyesuaian) daripada tulisan Ummu Azmi, "Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya" dalam majalah Ummi, Julai 1990, 34-35.

Panduan 1: Kenali Ahli Usrah
Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai dengan peribadi tertentu.

Panduan 2: Rancang Program Pengisian
Naqib mesti merancang program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.

Panduan 3: Segarkan Usrah dengan Suasana Perbincangan
Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

Panduan 4: Beretindak sebagai Pemimpin Tempat Bernaung
Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, dalam atau luar usrah. Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.

Panduan 5: Berikan Kerja kepada Ahli
Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih banyak orang dan sentiasa membina hubungan dengan naqib.

Panduan 6: Pelbagaikan Kesan Sampingan
Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:

6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.

6.2 Penyelesaian Masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.

6.3 Permainan. Adakan "permainan" yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.

6.4 Berkhemah dan Berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.

Panduan 7: Sediakan Laporan Penilaian
Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen itu, langkah penambahbaikan boleh dirancang dan dilaksanakan.

Catatan
"Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya." Ummu Azmi.

Kisah susu ibu

0 comments

Alkisah pada suatu masa, di sebuah hospital bersalin di Amerika. Maka ada le dua orang ibu yang melahirkan sorang anak lelaki dan sorang lagi anak pompuan. Masalahnya, kedua-dua ibu tadi, mengaku yang mereka melahirkan anak lelaki tersebut ! Ni kes berebut anak lelaki le... . Oleh kerana mereka melahirkan pada waktu dan masa yang sama, maka timbul le sedikit masalah bagi menentukan ibu yang sebenar bagi anak lelaki tersebut. Pada waktu tersebut, tiada lagi ujian DNA. Maka doktor pakar dari Amerika bertanya le pada kawan dia, sorang doktor dari mesir, macam mana nak selesaikan masalah tersebut. Dia orang dah buat ujian darah dah, malangnya, kedua-dua ibu tersebut mempunyai kumpulan darah yang sama. Lagi rumit masalah tersebut! Maka doktor Amerika tu tanya le doktor dari mesir, macam mana nak selesaikan masalah ni, sebab dia dengar orang kata Islam dan Al-Quran ni agama yang sempurna, dan setiap masalah ada penyelesaiannya di dalam Al-Quran. Maka terkedu le doktor dari mesir tuh! Nak tak nak, doktor dari mesir tu, ajak doktor Amerika tu berjumpa dengan sorang kawannya, iaitu seorang ulama terkenal dari mesir. Maka ulama dari mesir tu tanya le apa masalahnya. Setelah diceritakan segalanya, maka ulama mesir tersebut tersenyum. Korang nak tau tak, apa yang dia suruh buat ? Alah... bukannya suruh potong dua cam dalam citer melayu lama tuh ! Ulama mesir tadi suruh diperah susu kedua-dua ibu yang melahirkan anak tadi! Dan dibuat ujian tentang kandungan kalsium, zat galian dan sebagainya! Setelah selesai ujian, mereka diminta membawa keputusan ujian dan berjumpa semula dengan ulama tersebut.

So, setelah dapat keputusan ujian, maka mereka pun bertemu semula dengan ulama tersebut. Nak tau apa keputusannya ? Salah satu dari susu ibu tersebut, mengandungi 2 kali ganda bahan-bahan seperti kalsium, zat galian dan apa-apa yang sepatutnya berada di dalam susu ibu. Maka ulama mesir tersebut berkata, ibu yang mempunyai susu yang mempunyai bahan-bahan 2 kali ganda itulah ibu sebenar kepada anak lelaki tersebut ! Maka doktor amerika tadi bertanya, apa buktinya di dalam Al-Quran, maka ulama mesir memberitahu bahawa, bahagian untuk anak lelaki itu adalah 2 kali ganda dari anak perempuan, begitu jugalah dalam soal pembahagian harta pusaka. Jadi, oleh kerana itu adalah hukum Allah, susu ibu juga merupakan 'harta', maka untuk anak lelaki, adalah 2 bahagian, berbanding untuk anak perempuan !

Muqaddimah

0 comments



"BUKAN semua milik kita adalah rezeki kita", begitulah nasihat kawan saya kepada saya.

Ia bermaksud, sesuatu yang ada pada kita belum tentu ia sebenar-benarnya turun untuk kita. Contohnya seseorang dikurniakan duit yang banyak. Belum tentu Allah menurunkan wang itu untuknya. Boleh jadi supaya dia membantu kawan-kawannya yang memerlukan, walaupun rezeki itu turun pada tangannya. (samalah seperti konsep zakat)

Maka dengan konsep ini saya melancarkan blog ini, kerana apa yang saya perhatikan, apa yang saya lihat mungkin sesuatu yang penuh dengan pengajaran, untuk saya, boleh jadi juga untuk tuan-tuan dan puan-puan semua. Oleh itu, insya-Allah, di dalam blog ini saya akan cuba menyajikan artikel-artikel yang mungkin agak berat yang memerlukan para pembaca untuk sama-sama berfikir. Insya-Allah.

(Blog-blog saya yang lain menyediakan artikel-artikel yang lebih santai, driftdesignanddakwah.blogspot.com)